PERTANDINGAN KAWAD KAKI PERINGKAT SEKOLAH BERLANGSUNG DENGAN JAYANYA



 BANDAR TASIK PUTERI, 27 JUN -  Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tasik Puteri (SMKBTP) telah mengadakan Pertandingan Kawad Kaki Peringkat Sekolah yang melibatkan tujuh unit beruniform iaitu Kadet Remaja Sekolah (KRS), Bulan Sabit Merah Malaysia (BBSM), Pergerakan Puteri Islam Malaysia (PPIM), Persekutuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM), Pasukan Kadet Polis  (PKP), Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) dan Kadet Bomba dan Penyelamat Malaysia (KBPM). Pertandingan ini diadakan bagi menguji kemahiran kawad kaki di samping memupuk nilai disiplin, kerjasama dan semangat berpasukan dalam kalangan pelajar.

 

Semasa pertandingan berlangsung, setiap unit beruniform mempamerkan persembahan kawad kaki yang kemas, berdisiplin dan penuh semangat. Para peserta menunjukkan komitmen yang tinggi dengan melaksanakan setiap pergerakan secara seragam serta mematuhi setiap arahan yang diberikan oleh ketua platun. Barisan hakim turut menilai setiap pasukan berdasarkan aspek kekemasan, ketepatan pergerakan, disiplin, kawalan pasukan serta kepimpinan ketua platun. Walaupun persaingan antara pasukan amat sengit, semua peserta tetap menunjukkan semangat kesukanan dan saling memberikan sokongan kepada rakan-rakan daripada unit beruniform yang lain. Sorakan daripada guru-guru dan para pelajar yang hadir turut menyemarakkan suasana pertandingan serta membakar semangat setiap pasukan untuk memberikan persembahan yang terbaik.

 

Majlis kemudiannya diteruskan dengan sesi penyampaian hadiah kepada semua pasukan yang bertanding. Keputusan pertandingan menyaksikan PKP muncul sebagai johan diikuti KRS sebagai naib johan dan PPIM di tempat ketiga. KBPM, BBSM, PPM  dan PPPM pula masing-masing menduduki tempat keempat hingga ketujuh. Pengumuman keputusan disambut dengan sorakan gemuruh daripada para peserta manakala setiap unit beruniform meraikan kejayaan mereka melalui nyanyian dan sorakan, sekali gus mewujudkan suasana yang meriah serta penuh semangat perpaduan.

 

Secara tuntasnya, Pertandingan Kawad Kaki Peringkat Sekolah telah berjaya mencapai matlamatnya dalam memupuk budaya disiplin, kerjasama dan semangat kesukanan dalam kalangan pelajar. Kejayaan penganjuran program ini membuktikan bahawa aktiviti kokurikulum mampu melahirkan pelajar bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah berketerampilan, berdaya tahan dan mempunyai nilai kepimpinan yang tinggi. Semoga pertandingan ini dapat diteruskan sebagai salah satu program tahunan sekolah.

 

Oleh: Kamila Jazmina


Comments

Popular posts from this blog

ARTEMIS II: LANGKAH PENTING MANUSIA DALAM PENEROKAAN ANGKASA LEPAS

AMARAN CUACA PANAS: PELAJAR BANDAR TASIK PUTERI PERLU BERJAGA-JAGA

KEMALANGAN JALAN RAYA: ANGKA MENINGKAT, NYAWA TERANCAM!