TRADISI KUIH RAYA SEMAKIN DILUPAKAN, BENARKAH KERANA KESIBUKAN?
BANDAR TASIK PUTERI, 23 MAC – Suatu ketika dahulu, dapur rumah pasti dipenuhi dengan aroma harum kuih raya yang dibuat bersama ahli keluarga menjelang Aidilfitri. Namun begitu, tradisi ini semakin pudar apabila masyarakat lebih gemar membeli kuih raya yang dijual secara komersial. Persoalannya, mengapakah tradisi membuat kuih raya bersama keluarga semakin dilupakan oleh masyarakat hari ini? Adakah kesibukan hidup menjadi alasan utama atau masyarakat kini lebih mengutamakan kemudahan dengan membeli kuih raya secara komersial? Isu ini seharusnya dititikberatkan kerana kesannya boleh menjejaskan hubungan antara ahli keluarga.
Faktor utama yang menyumbang kepada fenomena ini ialah kesibukan masyarakat dalam arus kehidupan moden. Kesibukan ibu bapa dalam tanggungjawab pekerjaan harian sehingga mereka tidak mempunyai masa terluang untuk membuat kuih raya buatan sendiri bersama keluarga. Selain itu, generasi muda hari ini menunjukkan kurang berminat untuk mempelajari cara membuat kuih raya tradisional kerana mereka lebih tertumpu kepada hiburan digital dan penggunaan gajet yang menyebabkan tradisi keluarga tidak diwarisi. Tambahan pula, mentaliti masyarakat yang kini lebih gemar memilih kaedah yang cepat dan mudah berbanding membuat kuih buatan sendiri yang memerlukan kesabaran dan masa yang panjang turut menjadi salah satu punca yang menjejaskan hubungan ahli keluarga.
Ini juga menunjukkan bahawa tradisi keluarga semakin jarang diamalkan berbanding dahulu. Aktiviti membuat kuih raya yang dahulu penuh dengan keseronokan dan juga dapat dinikmati bersama ahli keluarga semakin jarang berlaku kerana masyarakat lebih cenderung membeli kuih yang sudah siap. Jika keadaan ini berterusan identiti budaya masyarakat melayu akan semakin terhakis kerana generasi masa depan tidak lagi mengenali atau menghargai warisan kuih tradisional.
Oleh: Kamila Jazmina
Comments
Post a Comment
letakkan nama anda dalam setiap komen.